Wednesday 31 July 2019

Kolam Mile Seven vs Ban Canal

Pada cuti pertabalan agong yang lepas,30 Julai 2019, aku bersama puteri, Fatin  dan puteraku, Faiz sempat berkomplot di 2 tempat, iaitu kolam pancing udang mile 7 dan Ban Canal
Selepas bersarapan kami terus ke kolam di Ijok dan sampai di kolam kira - kira pukul 11 pagi. Ternyata orang telah ramai memenuhi kolam tersebut.Dengan bayaran RM 45 untuk 2 jam termasuk umpan perumpun dan perambut. Untuk kanak-kanak bawah 12 tahun adalah percuma. Aku bawa 1 rod berkekili dan 2 rod teleskopik.
Ini merupakan pengalam pertamaku memancing di kolam udang bersendirian, walaupun sebelum ini aku pernah memancing di kolam udang tetapi ditemani adikku, Awal. Lain rasanya bila bersendirian ini, terpaksa mengikat sendiri mata kail, puteri dan puteraku tidak sabar lagi untuk memancing. Mula-mula sedikit pendek tali yang aku ikatkan tambahan lagi joran teleskopik pun pendek, kira -kira 2m sahaja. Rata-rata kaki pancing di sini menggunakan rod teleskopik hampir 10m rasanya. Jarang yang menggunakan kekili.
Strike pertama diperolehi oleh puteriku, gembira nampaknya setelah berjaya mendaratkan udang galah pertamanya. Seterusnya puteraku pula yang berjaya mendaratkan udang galahnya. Tercabar rasanya aku kerana masih belum berjaya mendaratkan udang lagi. Aku cuba mengarau kekiliku, terasa seperti berat rasanya, rupanya ada udang remaja yang terjerat di mata kailku. Gembira mereka melihat udang yang besar tersebut. Kami juga berjaya mendaratkan 2 ekor ikan guppy tanpa sengaja, sekor aku buat umpan untuk cuba menjerat si jenggo kolam ini tapi hampa. Sekor lagi aku bawa balik untuk mereka pelihara ikan tersebut.
Ada kaki pancing dari Kepong bersama keluarganya memancing di sebelah kami. Aku cuba mengorek rahsia darinya kerana kelihatan mereka berjaya mendaratkan banyak ekor si sepit biru ini.Rupanya mereka menggunakan hati ayam dan di akhir pancingan mereka telah memberikan baki hati ayam itu kepada kami. Aku cuba juga dengan hati ayam tersebut tetapi tetap hampa, mungkin hari sudah makin panas, hampir pukul 1.00 tengahhari.
Di sini aku ingin berpesan kepada kaki pancing janganlah buang perambut yang masih ada mata kail di merata-rata tempat, bahaya kepada pengunjung lain terutama kanak-kanak. Sama-samalah kita menjadi pemancing yang beretika pada setiap masa dan setiap tempat. Lagi satu, periksa barang peribadi kita sebelum meninggaglkan port, aku hampir kehilangan tablet kerana puteraku tertinggal di meja berhampiran kaunter. Nasib baik penjaga kaunter dan pekerja kolam tersebut orang yang jujur, mereka mencariku di kawasan parking untuk memulangkan tablet yang tercicir.Alhamdulillah.
Selepas solat zohor di masjid pekan Bestari Jaya kami terus ke Ban Canal.Di sini kami menggunakan bancuhan dedak berperisa sawit peram. Hampir 2 jam kami di sini dan hampir kumpau dibuatnya. Mujurlah puteraku berjaya mendaratkan seekor ikan seluang menggunkan pancingnya dengan teknik kepalan dedak pada spring jaring. Mungkin ini tanda pengenalan kami kepada Ban Canal
Jadi sepangjang trip ini, 2 port kami terjah dan keputusannya ialah seperti berikut
1.Strike terpantas: Fatin
2. Strike terbanyak : Faiz (1 udand, 2 ikan guppy, 1 seluang)
3. Strike terbesar: Aku (jenggo remaja)










Tuesday 23 July 2019

Port sekitar Puncak Alam

Puncak Alam memang banyak kawasan tadahan hujan yang boleh dijadikan padang pancing untuk melepaskan gian. Antara ikan yang selalu didaratakan oleh kaki pancing ialah tilapia, haruan, keli, ketutu dan kadang-kadang peacock bass, lampam dan likoh. Dulu-dulu pernah dapat pacu dan patin. Dan sekarang ikan selat pula yang susah nak dapat.

 Pernah terserempak dengan orang bawa likoh, dipercayai dipancing di tasik sebelah masjid.

 Likoh juga pernah didartkan di tasik Alam Suria. 

PB makin membiak dalam tasik Alam Suria, besar kecil semua ada, menunjukkan ianya berjaya membiak.

Kali ini saya akan kongsikan beberapa port yang pernah saya terjah di sekitar Puncak Alam ini
1. Tasik Tesco
2. Tasik Sebelah Masjid
3. Tasik Alam Suria 5A1 dan 5A2
4. Tasik Rumah Tenggelam
5. Tasik PB (belakang projek rumah Selangor)
6. Port Alam Jaya
7. Tasik Fasa 3
8. Port Ambang Suria
9. Port PB Cendol

1. Tasik Tesco
Port ini senang dijumpai kerana bersebelah Tesco Puncak Alam dan merupakan kawasan tumpuan warga Puncak Alam untuk beriadah. Terdapat trek untuk jogging, bangku untuk berehat sambil memancing dan banyak lagi kemudahan. Walaubagaimanapun saya jarang ke port ini kerana tebingnya agak curam dan terpaksa turun ke bawah untuk memancing. Kaki Pancing perlu berhati-hati kerana tasik ini agak dalam. Ada 2 tasik bersebelah yang boleh kaki pancing mencuba nasib di sini. Memang ada jer kaki pancing yang menduga nasib di sini. Tasik ini juga pernah menjadi tempat pertandingan memancing suatu masa dahulu dan penganjurnya telah melepaskan pelbagai spesis ikan seperti pacu dan patin. Sepanjang pengetahuan saya belum pernah kaki pancing berjaya mendaratkan spesis itu.

2. Tasik Sebelah Masjid
Port ini juga mudah dijumpai kerana dapat dilihat dari jalan utama sahaja, bersebelahan Masjid Puncak Alam yang mempunyai kubah biru. Dulu sebelum tasik ini didalamkan, saya pernah memancing di sini dan berjaya mendaratkan ikan keli dan talapia. Antara momen yang segar diingatan ialah ada kaki pancing berjaya mendaratkah likoh di sini dan adik saya juga hampir berjaya mendaratkan likoh tetapi rabut kerana mata kail yang kecil. Dipercayai port ini ada ikan ketutu yang besar-besar.

3. Tasik Alam Suria 5A1 dan 5A2
Port kegemaran saya kerana ianya ada didepan rumah sahaja. Selalu membottom di sini untuk menjerat tilapia, ketutu,keli, lampam,PB dan haruan. Kini mencuba nasib dengan teknik casting dan berjaya juga mendaratkan PB, mayan chilclid (tilapia belang) dengan sp berudu keluaran kanicennix.Boleh dikatakan tiap-tiap hari pasti ada kaki pancing yang menebing di sini, tak kira lah belah 5A1 atau 5A2. Terdapat kaki pancing yang menggunakan teknik pancingan jaring di sebelah 5A2 untuk menjerat tilapia. Walau bagaimanapun tasik ini juga menerima tekanan dari kegiatan menjaring, menjala dan pernah ada yang mengaren.

4. Tasik Rumah Tenggelam
Dipercayai ada toman mega di sini. Kadang-kadang ada geng casting yang menggunakan bot untuk mengilat toman. Dulu saya pernah memancing haruan dengan berumpankan anak ikan kap dan berjaya mendaratkan haruan yang agak besar. Pernah casting dari tebing menggunakan sp, kumpau dan beberapa sp terkubur didasar tasik kena cukai. Saya masih menaruh harapan untuk mendaratkan toman di tasik ini suatu hari nanti.
Land mark port ini, rumah tenggelam...

Air keroh, kumpau lah jawabnya....hehe

Tersilap...ini port fasa 3 sebenarnya...

5. Tasik PB (belakang projek rumah Selangor)
Tasik di kawasan Puncak Bestari ini adalah tempat saya dan sifu, Fauzu Mamat melepaskan gian mengilat haruan. Dulu port ini adalah rahsia tetapi sekarang telah ramai diketahui orang. Jika dulu jika ke sini pasti merasa strike. Pernah kami strike berkali-kali hingga 7-8 kali seorang.Kini susah untuk sampai ke port ini kerana ada projek perumahan sedang giat dijalankan di situ. Ada penambakan tasik juga telah menyebabkan berkurangnya strike. Port ini dikenali sebagai Port lopak kerana haruan di sini sukan melompat untuk melepaskan diri dari mata kail.

6. Port Alam Jaya
Dipercayai ada ikan bujuk  di sini. Saya hanya sempat beberapa kali ke port ini dan selalunya kumpau. Sekarang port ini telah dipagari oleh pemaju. Dulu juga ada port sepat di hadapan pintu masuk ke port ini. Laluan masuk ke port ini sebenarnya bersebelahan dengan loji IWK.

7. Tasik Fasa 3
Dipercayai ada PB besar-besar di sini. Saya belum pernah menjejaki port ini. Belum ada yang mahu bawa ke sini. Port ini adalah di hujung flat fasa 3.


Port ini betul di hujung flat fasa 3.


Ada 2 tasik di sini, bersebelahan flat dan SMK Puncak Alam 3.

8. Port Ambang Suria
Sebenarnya port ini adalah sambungan saliran air daripada Tasik Alam Suria. Kawasannya agak semak dan saya belum pernah terjahnya. Takut beb...

9. Port PB Cendol
Dipercayai dulu geng Puncak Alam Angler selalu mendaratkan PB di port ini. Tetapi berhati-hati jika mahu ke sini kerana ianya tersorok dan dikhuatiri ada binatang liar seperti babi hutan.Port ini sebenarnya berdekatan roundabout fasa 1 tempat mamak cendol.

Itulah senarai port yang dapat saya kongsikan di sekitar Puncak Alam ini . Diharap port-port ini akan terus wujud untuk sama-sama kita merasa tarikan si penghuni dasar. Semoga kaki pancing juga dapat menjaga etika ketika ke port ini,janganlah merosakkan harta awam dan membuang sampah merata-rata. Kaki pancing seharusnya menyanyangi padang pancing mereka. Jangan sehingga ada pihak yang menuduh punca pencemaran sungai adalah kaki pancing seperti kes di Sg Selangor itu...

Sunday 7 July 2019

Casting tilapia

Casting tilapia?Itulah soalan yang aku tanya dalam hatiku,bila melihat post otai2 mendaratkan spesis ini dengan casting kerana bunyi agak pelik dan mustahil.
Dengan perkembangan terkini,akhirnya aku juga terjebak dengan casting tilapia.Setelah melihat posting oleh geng kanicennix,aku pun terbako oleh sp berudu keluaran kanicennix.
Bermula di kolam di kampung,aku berjaya mendaratkan tilapia dengan teknik casting menggunakan sp berudu berwarna putih.Berputik dihatiku untuk cuba mendaratkan tilapia liar pula.
Sememangnya depan umahku,Tasik Alam Suria, bila berkesempatan pasti aku melontarkan spku.Jika dulu ikannya memang jual mahal denganku,kini tidak lagi dengan menggunakan sp kanicennix tersebut.Beberapa tilapia,PB dan ketutu mula membaham spku.
Dengan teknik slow casting Dan kadang-kadang jerk,sp kelihatan seperti anak ikan yang sedang berenang berjaya menjerat spesis tersebut.
Dunia Pancing memang sentiasa berubah maka kita juga perlu seiring dengan perubahannya.Jika dulu aku hanya membottom dengan melilit tangsi di botol,namun kini aku sudah mampu casting tilapia dengan set spinning pancing udang.