Wednesday 17 April 2013

Cikgu dengan jorannya


Kerjaya saya sebagai seorang guru  di zaman teknologi ini sangat mencabar. Kerenah pelajar kadang-kadang boleh menyebabkan saya sangat stress. Walau bagaimanapun saya mempunyai cara untuk mengurangkan tekanan kerja ini, iaitu dengan melayan hobi memancing.

Tiap-tiap hujung bulan saya pasti akan pulang ke kampung isteri di Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam. Kesempatan ini saya gunakan sebaiknya untuk memancing kerana BNO memang terkenal dengan parit-parit yang dihuni oleh spesis seperti tilapia, puyu, haruan dan banyak lagi.

Baru-baru ini, semasa cuti Tahun Baru Cina, saya sekali lagi berkesempatan pulang ke BNO. Saya telah membuat persiapan 2 hari sebelum pulang dengan membeli cacing dan melengkapkan alatan memancing yang berkurangan seperti pelampung dan tangsi.

Kami bertolak dari Puncak Alam, Kuala Selangor pada pagi hari Sabtu. Hampir 2 jam perjalanan, kami selamat sampai di BNO. Selepas makan tengahhari, saya seorang diri terus ke parit berdekatan bertemankan 2 batang joran.

Umpan cacing dipasang di mata kail dan kail dilabuhkan berhampiran rimbunan kangkung. Hampir 20 minit menunggu, akhirnya umpan disentap rakus oleh penghuni dasar, si tilapia. Apabila bermula sentapan si tilapia, saya tidak menang tangan untuk mengarau 2 batang joran tersebut. Jikalau saya lambat sahaja, si tilapia pasti berjaya mencuri umpan dengan menyelamatkan diri dengan menyusup di bawah rimbunan kangkung.

Ikan yang berjaya didaratkan, saya bawa pulang dan saya sendiri akan menyiang ikan tersebut. Isteri saya tidak tahan dengan bau lumpur dari perut ikan tilapia. Saya akan menyiang dengan cara membelah ikan tilapia dari atas untuk dibuat ikan masin. Ikan tersebut akan diletak garam dan akhirnya dijemur berhari-hari sehingga kering.  Segala penat lelah akan hilang setelah menikmati keenakkan ikan masin tilapia dengan nasi panas-panas.

Jikalau di kelas, saya mengunakan marker pen untuk mendidik anak murid tetapi di lapangan memancing saya menggunakan joran dan umpan untuk bereksperimen bagi menundukkan penghuni dasar. Begitulah rutin seorang guru dengan jorannya.


 Ikan tilapia yang siap dibelah sedang dijemur.


 Hasil eksperimen kali ini, kebayakkan tilapia, beberapa ekor haruan dan puyu.


Siang ikan sendiri.



Friday 5 April 2013

Jom Makan

Inilah hasil ikan siakap yang kami pancing di kolam RM3 dahulu.

 Resepi Acik. Masak Masam Manis

 Resepi Acik. Masak Berlada

 Resepi Kedai. Masak 3 Rasa.

Resepi Isteri. Masak Masam Manis.