Wednesday 8 May 2019

Tasik Depan KFC Setia Alam

Dulu-dulu aku pernah memancing di tasik ini tetapi kumpau. Setelah diberitahu oleh Sifu, Fauzu Mamat bahawa tasik ini ada sepsis lampam dan teknik pancingan jaring mudah menjeratnya. Pada cuti sekolah bulan 3 yang lalu, aku bersama anak-anakku sekali lagi ke tasik ini.

Dengan bereksperimen bancuhan campuran dedak, kami cuba mendaratkan penghuni dasar tasik ini. Campuran dedak dengan perisa udang berjaya mendaratkan lampam dan tilapia. Aku juga mencuba dedak perisa cacing tanah tetapi kurang mendapat sambutan.

Teknik pancingan jaring sangat sesuai jika kita membawa anak kecil bersama, tidak berbahaya kerana tiada benda yang tajam. Walau bagaimanapun tetap kena berjaga-jaga kerana anak-anak boleh terbelit jika tidak hati-hati. Anak lelakiku, Faiz walaupun umur 4 tahun lebih berminat untuk cuba melontarkan umpan walaupun jarak lontaran tidak jauh mungkin kerana rod lebih tinggi darinya dan kepalan dedak pada spring berat untuknya. Kakaknya, Fatin lebih berminat untuk bermain catur daripada cuba untuk memancing.
Tasik ini ada beberapa pondok, ada bangku simen dan pokok untuk kita berteduh dari panas mentari.

Pada 7 Mei yang lalu, dalam bulan puasa aku sekali lagi ke tasik ini. Waktu persekolahan tamat awal pada bulan puasa, 12.30 t.hari, memberi lebih masa untuk aku pergi memancing. Siapa kata bulan puasa kita perlu gantung joran? Semuanya bergantung kepada kita. Mungkin teknik bottom lebih sesuai berbanding casting pada bulan puasa ini.

Dengan setting yang hampir sama dengan kunjungan sebelum ini, bancuhan dedak perisa udang, aku sekali lagi berharap untuk dapat mendaratkan ikan. Bermula pukul 3 petang aku memancing, tiada hasil,mungkin ikan pun puasa….hehehe..Sehinggalah pukul 4.30 petang setelah aku mengambil keputusan untuk balik. Ketika mengarau tali joran, aku terasa berat, mesti kena ni, getusku dalam hati. Apabila semakin hampir dengan tebing, ternampaklah kelibat ikan yang tersangkut pada jaring, cuba untuk melepaskan diri. Ikan lampam sepangjang hampir 1 kaki berjaya aku daratkan.


Ikan lampam tersebut telah menjadi penghuni akuariumku dan diharapkan ianya terus hidup, jika tidak jadi pekasamlah ia nanti…

Sebenarnya, pada Kali ini aku juga mencuba umpan sawit peram dengan Mata bom tetapi tidak mendapat sambutan. Pancingan air tawar memerlukan Kita lebih kreatif umtuk mencipta umpan berbanding pancingan air masin. Maka mulakan daya kreativiti anda sekarang.Pancing mesti terus...

Tilapia hasil pertama kali ini.

Lampam pun ada di tasik ini.

Faiz seronok bermain dengan bancuhan dedak,biarkan dia explore sendiri...

Ada trek untuk jogging, ada bangku untuk berehat dan ada pondok untuk berteduh.

Mereka seronok outdoor sekali sekala.

Sekali sekala berjemur di bawah panas mentari, ada baiknya juga.

Selipar size 8 sebagai perbandingannya.

Hasil pada kunjungan yang pertama, 1 tilapia 4 lampam.

Mereka dan mula berani untuk memegang ikan, biarkan mereka merasa sendiri hanyirnya ikan...

Tuesday 7 May 2019

Haruan Bukit Hijau

Kg Bukit Hijau adalah kampung bersebelahan dengan Puncak Alam, yang merupakan jalan pintas untuk ke Pekan Sasaran atau Parit Mahang. Terdapat kebun-kebun kelapa sawit yang diairi oleh sistem peparitan.
Sistem peparitan ini dihuni oleh beberapa spesis seperti puyu, sepat, keli dan haruan. Boleh dikatakan hampir setiap hari, aku akan membawa BCku bersiar-siar di kawasan ini jika tidak membottom tilapia Puncak Alam.
Sebelum ini aku lebih kepada sp tetapi kali ini aku cuba dengan spinnerbaits, setelah diperkenalkan oleh sifu Fauzu Mamat. Spinnerbaits ini adalah hasil tangan Zuhairi Safwan. Kecik molek sahaja spinnerbaits ini tetapi mempunyai pemberat 7g untuk memudahkan lontaran dengan BC.
Sebelum ini pernah aku menggunakan spinnerbaits keluaran pihak lain tetapi menghadapi masalah untuk melontarkannya jauh. Lantaran itu menyebabkan aku kumpau.
Jika ada pembaca yang ingin mendapatkan BC hasil tangan Zuhairi ini bolehlah mengungjungi Fbnya untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.
Haruan yang berjaya aku daratkan akan dijadikan pekasam dan dijual kepada rakan di sekolah, bolehlah menampung untuk membeli kelengkapan memancing. Selalunya lontaran BC berhampiran semai pasti disambut rakus haruan.

Semoga port ini dapat berkekalan untuk kami melepaskan gian dan tak perlu pergi jauh-jauh untuk merasa tarikan si kepala ular ini...
Susahnya nak selfie, bila trip solo ni..


Selfie dengan ikan jer kita mampu...

Rod spinning dengan sp zman pun mampu menggoda si ruan.

BC kayuh kanan dengan sp zman, elektic chiken.

Jaga-jaga jika guna spinnerbaits comel ini, si ruan telan habis..

Port tepi jalan sahaja, semoga terus berkekalan..
Mereka tumpas kerana tidak mampu menahan godaan spinnerbaits comel ni..


Tepi-tepi semai antara port sereangan hendap si ruan ini.